Friday, 27 September 2013

KAJIAN PENYELIDIKAN DAN PENELITIAN DI GALERI DIRAJA SULTAN ABDUL AZIZ, KLANG, SELANGOR


Pada 9 Julai 2013 sepasukan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Manuskrip Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melakukan kajian penyelidikan dan penelitian di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang, Selangor. Lawatan ini bertujuan :

  1. ATMA bercadang membina pangkalan data khusus di dalam portal malaycivilization.ukm.my mengenai Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti yang lengkap untuk rujukan penyelidik dan masyarakat am. 
  2. Mendapatkan maklumat penyelidikan dan foto berkenaan koleksi serta konsep pameran yang terdapat di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz dan koleksi yang dimilikinya bagi memperoleh idea dalam kajian penyelidikan dan penelitian Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti.
Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang, Selangor

Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ialah galeri mengenai koleksi peribadi yang dikumpulkan oleh Sultan Selangor yang kelapan iaitu Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Alhaj. Galeri ini dibuka hasil dari buah fikiran baginda sendiri.
       Lokasi asal galeri ini ialah di Jalan Kota Raja, Syahbandaraya (Kampung Jawa) di Klang yang dahulunya dikenali sebagai 'Muzium Kenangan' dan siap dibina pada tahun 1988. Pembinaan muzium ini, dibiayai sepenuhnya oleh baginda. Pada tahun 1996, baginda telah menitahkan kerja-kerja pengubahsuaian agar muzium ini dapat dibuka kepada rakyat jelata.
Seterusnya pada tahun 1998, baginda telah berkenan menukar nama Muzium Kenangan kepada Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz mengambil sempena nama kelahiran baginda. Dengan sokongan kerajaan negeri, Galeri Diraja siap diubahsuai dan dibuka kepada umum pada tahun 2000. Walau bagaimanapun setelah baginda  kembali ke rahmatullah pada tahun 2001, Galeri Diraja telah ditutup buat sementara.
 Setelah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menaiki tahta pada tahun 2001, baginda telah menitahkan agar inisiatif Almarhum ayahanda beliau diteruskan. Maka baginda telah menitahkan agar bangunan Sultan Suleiman iaitu bangunan 2 tingkat yang dibina pada tahun 1909 untuk dijadikan lokasi Galeri Diraja yang baru.
 Bermula tahun 2005 kerja-kerja konservasi dimulakan dengan kerjasama dari Jabatan Kerja Raya Negeri dan pihak perunding. Selepas setahun lima bulan, semua kerja-kerja pembinaan dan pengubahsuaian selesai dilaksanakan. Konservasi selesai dengan penambahan ruang bangunan pentadbiran dan stor ke atas bangunan  seluas 17,000 kaki persegi dan dua tingkat.
Galeri Diraja ini telah dirasmikan pada 17 Oktober 2007 dan dibuka kepada umum pada 1 November 2007. Antara kandungan dari pameran Galeri Diraja adalah berkisar riwayat hidup Almarhum Sultan Abdul Aziz yang telah memerintah Selangor selama lebih 39 tahun sebagai Sultan Selangor kelapan dan lebih dari 2 tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong ke Sebelas.
            Galeri ini menyimpan lebih 1,500 koleksi peribadi Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, hadiah rakyat jelata dan sumbangan pemimpin, raja-raja dan ketua-ketua negara dari seluruh dunia. Selain itu, terdapat juga barangan peninggalan daripada sultan-sultan dan kerabat diraja Selangor sebelum ini. 
            Setiap koleksi yang dipamerkan di galeri ini dikelaskan berdasarkan jenis barangan supaya pengunjung boleh menghayati keunikannya secara lebih dekat kerana setiap satu bahan pameran itu ada ceritanya yang tersendiri. 

Antara artifak yang terdapat dalam galeri ini ialah:

Mahkota Leleng 

- Digunakan pada era zaman Sultan Muhamad iaitu Sultan Selangor yang ketiga hingga kini.
- Mahkota itu dipakai pada acara rasmi seperti Hari Pertabalan dan Hari Keputeraan Sultan
- Mahkota itu dihiasi dengan permata, intan dan berlian dari Pontianak, Indonesia serta delima yang diikat dengan emas 10 iaitu emas asli dari Pahang.

Cop mohor      
- Pelbagai jenis cap mohor rasmi yang digunakan oleh Sultan-sultan Selangor yang terdahulu dan juga kerajaan Selangor.
- Cop mohor tertua yang masih kekal dan dipamerkan di galeri itu adalah cop mohor yang digunakan oleh Sultan Selangor yang keempat iaitu Sultan Sir Abdul Samad Ibni Raja Abdullah yang memerintah negeri Selangor dari tahun 1857 hingga 1898.

Koleksi topi besi pahlawan Jepun  
- kotak yang dihias cantik dan di negara Jepun
- kotak itu digunakan hanya untuk menyimpan abu mayat pahlawan yang gugur di medan perang.

Antara barang lain yang turut dipamerkan ialah koleksi lukisan, gambar-gambar keluarga diraja, barangan kaca, kristal, seramik, tembaga, pewter, darjah kebesaran, model bangunan dan istana, model kereta api, peralatan kapal laut, basikal, cenderahati, jam, senjata, binatang peliharaan, buku dan pelbagai barangan peninggalan diraja.

Gambar-gambar semasa lawatan penyelidikan


Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz


Pengawal keselamatan 


Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Alhaj


Salasilah Kesultanan


Sejarah awal kehidupan almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al Haj


Tugas-tugas diraja


Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung Kesebelas


Koleksi Diraja


Ruang Pameran Sementara


Perbara Tembaga yang diwarisi oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sejak turun temurun yang digunakan oleh istana untuk upacara keagamaan


Dekorasi pejabat Almarhum


Kapal Bugis


Kaedah gabungan antara teks bergambar dengan artifak


Ruang untuk koleksi diraja dengan meletakkan mahkota di tengah-tengah ruang.


Nobat Diraja Selangor


Model istana Alam Shah


Kaedah perletakan koleksi sudu-sudu yang diperolehi Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj setiap negeri yang dilawatinya 


Koleksi topi besi pahlawan Jepun  


Kaedah mempamerkan koleksi pedang  Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj


Kumpulan penyelidik bergambar kenangan di bangunan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz bersama-sama kakitangannya













7 comments:

  1. siapa yang merasmikan galeri ni ?

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,boleh saya gunakan ini sebagai kajian?

    ReplyDelete
  3. Apakah sebab atau tujuan bangunan sultan suleiman dibina pada masa dahulu??

    ReplyDelete
  4. sebab dan tujuannnnnnn please? aduhhh

    ReplyDelete
  5. sebab dan tujuannnnnnn please? aduhhh

    ReplyDelete
  6. Salam. Terima kasih. Kami akan ikuti jejak anda sebagai panduan projek sekolah kami. Jejak Shahbandaraya, Klang Bandar Diraja sebagai projek pusat sumber sekolah.

    ReplyDelete
  7. Salam. Terima kasih. Kami akan ikuti jejak anda sebagai panduan projek sekolah kami. Jejak Shahbandaraya, Klang Bandar Diraja sebagai projek pusat sumber sekolah.

    ReplyDelete